Tuesday, February 16, 2010

ERTI SEBUAH PERSAHABATAN
(RENUNGILAH & JAGALAH UKHWAH SAHABATMU ITU)

Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa, Kecuali diri sendiri….. Tetapi…Dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana…. Mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.

Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya…..?
Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa…..tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami yang selalu berada disisi pada waktu kita memerlukannya. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan. Harapan dan impian juga kita luahkan.

Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita hingga Kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita. Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita yakinkan dia yg kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah….?

Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan? Sesekali jadilah sahabat yg mendengar dari yg hanya bercerita….. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat… Kerana dia juga seorang manusia,

Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan seorang sahabat….. Sebagai kekuatan, jadilah kita sahabatnya itu…. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yg kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yg ingin diluahkan.. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan….. Kita tidak tahu…. Tetapi….jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu…..


RENUNGILAH…

HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DISEBALIKNYA TERSIMPUL SEGALA-GALANYA


Orang yang menunjukkan kebaikkan kepada anda adalah sahabat yang baik. Dan orang yang menunjukkan kesalahan anda adalah sahabat yang paling baik. (Hukama)

PERSAHABATAN YANG BAIK…Sesungguhnya ikatan akidah itu adalah sekuat-kuat ikatan. Sesungguhnya orang-orang yang hidup di bawah naungan cinta dan persaudaraan Islam, persaudaraan kepada Allah dan lillahi taala akan mendapat merasai dan menikmati satu kebahagiaan yang hakiki, kepuasan jiwa yang tidak terperi di mana ia tidak dapat dikecapi orang-orang yang menilai hidup dengan nilai-nilai keduniaan yang fana ini. Muslim yang mempunyai sahabat yang baik tidak akan mengajak atau membiarkan mereka melakukan kehancuran tetapi akan memberi peringatan, menolongnya melawan godaan syaitan dan nafsu. Ini merupakan suatu bekalan yang besar sepanjang jalinan persahabatan. Sesungguhnya sahabat yang baik adalah orang yang sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan.

Salah seorang Assalafuddin pernah berkata: “Laksanakanlah nasihat itu dengan cara apa pun iaitu dengan cara yang paling baik dan dan terimalah dengan cara yang baik. Sekiranya sahabat itu menegur kamu secara rahsia maka dia telah membaiki dan menghiasinya tetapi sekiranya dia menegur secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai maka dia telah memalukan dan mengkhianati sahabatnya. Persahabatan yang baik menambahkan lagi kebahagiaan yang dikecapinya kerana penglibatan saudara-saudaranya bersama-sama di dalam kegembiraan itu akan dapat meringankan kepenatan dan kesesuaian semasa ia ditimpa bahaya dan bencana. Ini merupakan pembantu dan bekalan sepanjang jalan. Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud : “Tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa dan permusuhan”.”

Maksud ayat di atas bukanlah ditujukan kepada individu-individu tertentu semata-mata tetapi ditujukan khasnya kepada umum. Namun persahabatan yang baik dan kukuh adalah wajib dan lazim untuk orang-orang yang berjalan di atas jalan Allah SWT. Alangkah besarnya bekalan yang akan didapati oleh seseorang dalam persahabatan yang baik dan harmonis, berkasih-kasihan di jalan Allah untuk mendapat keredhaan dan kesempurnaan-Nya serta ganjaran baik dariNya lantaran perasaan cinta kepada Allah SWT, pandang-memandang sesama mereka penuh erti cinta yang ikhlas kerana Allah SWT, berjabat tangan kerana Allah dengan disulami senyum simpul terhias di wajah, saling ziarah-menziarahi, wasiat-mewasiati serta ingat-mengingati ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda, mafhumnya :

“Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah di hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan Allah yang satu. Salah satu daripadanya ialah dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, kedua-duanya bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.”

Allah SWT amat menyintai orang yang menyintai sahabatnya. Oleh kerana pentingnya persahabatan itu, dengan segala kebaikan dan faedah yang lahir daripadanya terhadap Islam dan umatnya, maka kita dapati Islam serta syariatnya memelihara nilai-nilai persahabatan, mengawal diri dari segala perkara yang merosakkan perpaduan serta mengharamkan daripada perkara-perkara yang membawa kepada sifat dengki, benci, menipu, berlaku curang, khianat, mengejek, bersangka buruk, mencari kesalahan orang lain, memutuskan hubungan, hipokrit dan saling berpaling tadah (tidak setia). Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud : “Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, saling berpaling tadah, saling benci-membenci dan saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidak halal bagi seseorang muslim yang berpaling dari saudaranya melebihi dari tiga hari”.

Alangkah bahagianya kita dengan nikmat persaudaraan kerana Allah dan perlu kita memeliharanya dengan segala kemampuan dan cara yang ada. Oleh itu wahai saudaraku! Carilah sahabat yang soleh, bersahabatlah dengan persahabatan yang baik kerana ia merupakan penolong dan bekalan sepanjang jalan.

“Sahabat yang baik adalah lebih mahal dari segunung emas permata. Oleh itu apabila kamu berdoa janganlah kamu minta segunung emas permata tetapi mintalah dari Tuhanmu sahabat yang soleh”.

Sunday, February 14, 2010



Bukit Tinggi Pahang.

Sememangnya tidak ramai di antara kita yang mengetahui tentang kewujudan Bukit Tinggi yang terletak di daerah Bentong Pahang. Tempat ini sememangnya sesuai bagi mereka yang merencana detik percutian yang tenang dan mendamaikan. Terletak pada ketinggian 3500 kaki di atas paras laut. Apa yang menarik di sini ialah terdapatnya Japanese Village dan bangunan ala-ala Castle.


Di Japanese Village terdapat rumah teh jepun pertama di dalam hutan tropika, Japanese Garden, Tatami Spa, Ume Tatami Suite, Botanical Garden dan sebagainya. Bangunan ala-ala castle yang menarik ini pasti mengingatkan akan nege
ri China. Dan tidak hairanlah jika Bukit Tinggi yang terletak di Bentong Pahang ini di gelar Jepun dan China tersembunyi.



Monday, February 1, 2010

Salahkah Aku bersedekah..??




Pada suatu hari pemuda dermawan ingin memberikan sedekahnya namun tidak mahu orang yang menerima sedekahnya kenal dengannya. Pada malamnya, dia keluar membawa seuncang wang emas lalu berjalan mencari orang miskin. Selepas lama berjalan, dia bertemu seorang lelaki tidak dikenali, lalu terus diberikan wang berkenaan dan beredar tanpa mengenali lelaki itu.

Keesokan paginya, penduduk gempar kerana orang yang menerima sedekah itu adalah pencuri. Akhirnya, berita itu sampai kepada lelaki berkenaan, ia menyebabkan beliau susah hati kerana memberi sedekahnya kepada orang tidak sepatutnya menerima dan bimbang sedekahnya tidak diterima Allah.

Pada malamnya, sekali lagi, lelaki dermawan itu keluar dengan membawa seuncang emas dengan harapan sedekahnya dapat diberikan kepada penerima yang layak. Sampai saja di sebuah tempat, dia terlihat seorang wanita sedang duduk di tepi jalan menunggu sesuatu. Sampai saja di tempat perempuan, dia terus memberikan wang kepadanya tanpa bercakap dan terus beredar.

Seperti sebelumnya, penduduk gempar dengan berita mengatakan seorang wanita cantik yang juga pelacur mendapat sedekah wang emas daripada seorang lelaki tidak dikenali. Ia menjadi buah mulut orang kampung kerana merasakan sedekah itu tidak wajar diberikan kepada wanita yang menjadi pelacur.

Berita berkenaan sampai kepada lelaki dermawan dan beliau berasa amat sedih kerana memberikan sedekahnya kepada orang yang tidak sepatutnya menerima. Bagaimanapun dia berharap dan berdoa semoga Allah menerima sedekahnya.

Selang beberapa lama, dermawan itu sekali lagi keluar malam untuk memberi sedekah dan berharap penerimanya, orang yang layak. Dia terjumpa seorang lelaki yang tidak dikenali lalu terus memberikan wang kepada lelaki, yang terpinga-pinga ketika menerima sedekah itu.

Keesokan harinya penduduk gempar mengatakan seorang lelaki kaya menerima sedekah. Mereka berpendapat, penerima itu tidak layak menerima sedekah kerana dia seorang kaya yang sepatutnya mengeluarkan sedekah kepada fakir miskin. Berita itu sampai kepada dermawan itu dan dia terkejut dan sedih kerana memberikan sedekahnya kepada orang yang tidak layak menerima sedekahnya.

Bagaimanapun niat pemuda dermawan itu hanya Allah saja yang tahu sama ada yang tersurat dan tersirat. Oleh sebab keikhlasan dan kesungguhan pemuda itu mencari keredaan Allah, Allah menerima sedekahnya dengan setiap kebaikan tanpa diketahui pemuda itu.

Lelaki pertama menerima sedekah itu ialah pencuri. Oleh sebab keikhlasan pemuda dermawan itu memberi sedekahnya kepada pencuri itu, Allah memberi hidayah kepada pencuri itu yang berasa terharu kerana walaupun dia melakukan kerja dilarang Allah tetapi masih ada lagi insan sudi memberikan bantuan kepadanya. Dia menggambarkan kalau dia buat jahat Allah masih lagi memberikan rahmat dan keampunan, apatah lagi kalau dia menjadi orang baik. Lagi banyak kebaikan dia akan dapat, lelaki pencuri itu insaf dan berazam tidak mengulangi perbuatannya.

Wanita yang menerima sedekah daripada lelaki dermawan itu adalah seorang pelacur yang memperdagangkan tubuhnya. Dengan sebab keberkatan sedekah dermawan itu, ia meninggalkan kesan mendalam kepada wanita berkenaan. Dia merasa malu dengan dirinya sendiri kerana walaupun dia membuat kerja tidak diredai Allah, masih ada yang sudi membantu tanpa mengetahui status dirinya. Inilah yang membuatkan dirinya terasa dihargai. Dia menyesal dengan perbuatannya serta berazam dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi wanita solehah.

Lelaki yang kaya yang menerima sedekah dari seorang pemuda dermawan itu sebenarnya seorang yang bakhil. Dia tidak pernah memberikan bantuan ataupun sedekah kepada orang ramai. Peristiwa itu memberikan kesedaran kepadanya yang tidak pernah memberi sedekah ataupun mengeluarkan zakat. Dengan sebab keikhlasan pemuda dermawan itu, orang kaya itu berubah sikap menjadi pemurah.

.....................................................................

Indahnya hidup dengan keikhlasan..
sentiasa memikirkan Allah S.W.T...

dan senyum itu juga sedekah.. :)

Sunday, January 31, 2010

Assalamualaikum...

Kisah Ashabul Kahfi Dan Beberapa Bukti Peristiwa Berlaku di Jordan.


Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.

Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.

Kisah 7 pemuda ini bermula apabila mereka berhadapan dengan raja yang zalim dan mengakui bahawa mereka hanya beriman kepada Allah yang menguasai langit dan bumi. 7 orang pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim bersama seekor anjing mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ lalu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun Qamariah.

Apabila mereka bangun, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan dan mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).

Pemuda tersebut kembali ke gua dan pemuda-pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut.

Ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian di manakah tempat berlakunya kisah 7 pemuda tersebut ditidurkan oleh Allah dalam tempoh masa yang lama. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakala penganut kristian mempercayai kisah ini berlaku dan menjalankan kajian mereka dari kitab Bible. Pelbagai hasil kajian, pandangan telah diberikan dalam menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah ia berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh 'Alim Ulama terdahulu dan dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.

Bilakah ia berlaku?


Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.

Pandangan kedua berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman penguasaan Maharaja Trajan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trajan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Siapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trajan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.

Di manakah ia berlaku?


Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa kisah ini berlaku di Turki, Jordan, Syria, Arab Saudi dan Sepanyol.
Di Turki sahaja terdapat 4 lokasi dikatakan peristiwa itu berlaku (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras dan Mardin). Penulis telah berpeluang menziarahi 3 lokasi di mana terdapatnya Gua Ashabul Kahfi iaitu di Abu Alanda, Jordan. Ephesus, Turki dan Jabal Qassiyun, Syria.

Apa yang boleh penulis simpulkan hasil dari bacaan, pemerhatian di lokasi-lokasi tersebut dua lokasi di Ephesus dan Jabal Qassiyun tidak banyak membuktikan bahawa di situ berlakunya peristiwa tersebut. Bukti yang penulis maksudkan ialah dari ciri-ciri gua yang diterangkan di dalam ayat Al-Quran. Berbeza dengan gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan. Ciri-ciri seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran agak bertepatan. 3 ciri dari ayat Al-Quran yang menjadi perhatian penulis ialah :

Pertama : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17-

Dan Engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada Dalam satu lapangan gua itu...



Lokasi Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda, Jordan terdapat sebuah lubang dari atas gua yang memasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam matahari berada dari arah pintu gua.

Kedua : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 21


setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah Yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang Yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya Kami hendak membina sebuah Masjid di sisi gua mereka".


Di atas Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda terdapat rumah ibadat yang dibina ketika zaman tersebut. Rumah ibadat yang dimaksudkan adalah rumah ibadat penganut nasrani. Ketika zaman kerajaan Umawiah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid.


Ketiga : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17



sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.



Bentuk gua yang terdapat di Abu Alanda adalah luas dan lapang serta tidak dalam.


Bukti dari kesan sejarah dan arkeologi.


Beberapa bukti telah dikenalpasti dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi bahawa gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan merupakan gua di mana berlakunya peristiwa tersebut.


1. Terdapat tulisan pada lengkungan pintu di dinding sebelah Timur yang menyatakan 'Masjid diperbaharui pada tahun 117 hijrah yang merujuk kepada zaman Hisham bin Abdul Malik bin Marwan. Ini membuktikan bahawa ketika era kerajaan Umawiah mereka sudah memperharui masjid yang sebelum itu menjadi rumah ibadat nasrani. Kesan yang boleh dilihat ialah binaan mihrab (petunjuk arah kiblat) yang terdapat di atas gua tersebut.

2. Tulisan khat Kufi turut ditemui yang mengisyaratkan bahawa masjid kedua di Ashabul Kahfi diperbaharui pada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun dari kerajaan Abasiah. Masjid kedua yang dimaksudkan ialah masjid yang dibina berhadapan dengan gua Ashabul Kahfi setelah masjid pertama diwujudkan di atas gua ketika zaman Umawiah.

3. Kesan Nawawis di dalam gua. Nawawis di dalam Mu'jam Wasit (m/s 962) memberi erti kubur orang nasrani yang diletakkan mayat di dalamnya. Pada Nawawis tersebut terdapat bintang segi lapan yang membuktikan tanda zaman kerajaan Rum-Byzantium pada kurun ke-3 masihi. Menjadi adat pada ketika itu, mayat-mayat nasrani akan dikuburkan di dalam bekas batu. Ini tidak mustahil bahawa mereka yang telah menguruskan mayat pemuda tersebut telah mengkebumikan mereka dengan cara dan adat mereka pada ketika itu.

4. Penemuan barangan tembikar, duit tembaga dan perak, lampu dari pelbagai zaman (Umawiah, Abasiah, Turki Uthmaniyyah) di dalam gua tersebut dan sekitarnya. Ia membawa maksud bahawa tempat itu telah dijaga oleh pelbagai zaman yang berlalu.

5. Al-Waqidi di dalam kitabnya Futuhat Sham telah menulis bahawa beliau bersama yang lain telah berhenti di Ain Ma' berhampiran gua ashabul kahfi. Mereka berhenti di Ain Ma' tersebut berwuduk, solat dan tidur di situ sebelum meneruskan perjalanan keesokkan harinya ke tanah Palestin. Ain Ma' terletak 70 meter dari gua ashabul kahfi.

6. Pokok zaitun berusia ratusan tahun tumbuh berhadapan gua. Pokok tersebut telah mati dan kesan batang pokok zaitun yang berusia ratusan tahun itu kini ditempatkan di dalam muzium mini di dalam gua.

7. Penemuan tulang di dalam Nawawis. Dikatakan bahawa tulang-tulang tersebut adalah kepunyaan pemuda-pemuda tersebut.